
“Muiz, sekarang giliran awak bentangkan kajian awak.”
Jantung aku berdegup laju. Aku dah prepare sejak minggu lepas lagi untuk saat ini. Aku dah berlatih depan cermin berpuluh-puluh kali. Aku yakin aku boleh lakukan.
“Assalamualaikum semua. Hari ini saya akan bentangkan kajian saya. Erm…” Tiba-tiba aku jadi kaku. Otak kosong, tak ingat langsung apa yang dah aku hafal. Semua yang aku dah praktis hilang, bagaikan air tumpah ke atas pasir. Aku terdiam selama seminit. Makin lama makin panik. Tangan mula menggigil, peluh sejuk menitis tak henti-henti.
Pernah tak korang dalam situasi ni?
Inilah yang disebut sebagai mind blank—satu keadaan di mana fikiran tiba-tiba kosong, seolah-olah semua maklumat yang kita tahu lenyap begitu sahaja. Fenomena ini boleh berlaku dalam pelbagai situasi, terutamanya ketika berada di bawah tekanan, dalam keadaan cemas, atau apabila otak terlalu letih.
Kenapa Mind Blank Terjadi?
Mind blank biasanya berpunca daripada tindak balas otak terhadap tekanan. Apabila kita berada dalam keadaan stress, sistem saraf akan mengaktifkan fight or flight response, iaitu mekanisme pertahanan semula jadi badan untuk menghadapi bahaya.
Dalam situasi tertentu, seperti bercakap di khalayak ramai atau menghadapi peperiksaan penting, otak kita menganggap keadaan ini sebagai ancaman dan mula memfokuskan tenaga kepada survival. Akibatnya, bahagian otak yang bertanggungjawab untuk mengakses memori dan berfikir secara rasional—prefrontal cortex—menjadi kurang aktif. Ini menyebabkan kita sukar mengingat maklumat atau berfikir dengan jelas.
Contohnya, seorang pelajar yang telah bersungguh-sungguh menghafal fakta sejarah untuk peperiksaan mungkin tiba-tiba tak ingat apa-apa sebaik sahaja kertas ujian berada di hadapannya. Begitu juga, seorang penyanyi yang sudah biasa dengan lirik lagunya boleh tiba-tiba terlupa lirik di atas pentas kerana gementar.
Faktor yang Menyebabkan Mind Blank
Beberapa faktor utama yang boleh menyebabkan mind blank termasuk:
1. Tekanan – Rasa takut untuk gagal atau membuat kesilapan boleh menyebabkan otak kita “beku”.
2. Kurang Tidur – Tidur yang tidak mencukupi melemahkan fungsi kognitif dan menjadikan kita lebih cenderung mengalami masalah ingatan.
3. Beban Maklumat Berlebihan – Terlalu banyak maklumat yang perlu diproses dalam masa yang singkat, terutamanya bila anda cuba hafal semua teks.
4. Kurang Latihan atau Persediaan – Anda hanya berlatih 1 – 2 kali sahaja, mungkin ada bahagian yang anda kurang mahir (not well verse with topics).
Bagaimana Mengatasi Mind Blank?
Walaupun mind blank boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terdapat beberapa cara untuk mengatasinya dan mengurangkan kemungkinan ia berlaku:
1. Bertenang dan Kawal Pernafasan
Apabila anda merasa panik, cuba tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan. Ini membantu menenangkan sistem saraf dan mengembalikan kawalan ke atas fikiran anda.
2. Gunakan Teknik Grounding
Teknik seperti menyebut lima benda yang anda lihat atau merasai objek di sekeliling boleh membantu mengalihkan fokus daripada rasa panik.
3. Persediaan yang Lebih Baik
Jika anda sering mengalami mind blank semasa bercakap di hadapan orang ramai, cuba berlatih dengan lebih kerap. Latihan berulang kali membantu otak mengingati maklumat dengan lebih baik, walaupun dalam keadaan tertekan.
4. Rehat yang Mencukupi
Tidur yang cukup amat penting untuk fungsi kognitif yang baik. Jika anda kerap mengalami mind blank, cuba perbaiki pola tidur anda.
5. Berfikiran Positif
Kurangkan tekanan dengan meyakinkan diri bahawa kesilapan adalah perkara biasa. Semakin anda bimbang tentang mind blank, semakin besar kemungkinan ia berlaku.
6. Gunakan Kata Kunci atau Rangka Isi
Jika anda perlu mengingati maklumat penting, gunakan kata kunci atau dan buat speech card dengan poin-poin yang anda mahu sampaikan. Ia boleh bantu anda kurangkan tekanan untuk mengingat.













Leave a comment