Cuti sekolah datang lagi. Ini semua rutin hujung tahun. Dan ini adalah masa yang ramai anak-anak sekolah tunggu-tunggukan. Tak perlu bergegas-gegas setiap pagi bangun awal dan bersiap untuk ke sekolah. Tak ada tempikan ibu dari dapur, menggesa untuk anak-anak makan pagi seawal pukul enam suku.
Dari rumah, tak ada kedengaran bunyi roda-roda daripada kereta, lori dan motosikal menggamit pagi yang sunyi. Tiada bunyi gegaran daripada treler yang kadangkala buat hati rasa gerun sebab bunyinya terlampau kuat dan dekat dengan rumah.
TV dirumah pasang siaran TV1, bukannya nak tengok sangat pun. Hanya nakkan suasana pagi sebagai latar belakang sahaja. Kopi panas di tangan kanan. Di tangan kiri pula memegang telefon, sambil scroll sikit-sikit mencari posting yang menarik.
Dan entah kenapa…rasa kosong tu datang. Bukan kosong yang sakit. Bukan kosong yang panik. Kosong yang tenang tapi berat.
Kita patutnya gembira, kan? Sebab dapat cuti. Tak terkejar-kejar deadline. Tak stress meeting. Tak ada orang ganggu bertanyakan pasal kerja yang tak pernah habis. Tak fikir alarm esok pagi.
Tapi kenapa rasa macam ni? Kenapa bila semua benda perlahan, otak pula mula bising?
Hujung tahun memang memberikan suasana yang pelik. Ia buat kita menoleh ke belakang tanpa dijemput. Kita mula berkira-kira apa yang dah jadi tahun ni, apa yang tak menjadi, apa azam awal tahun dulu yang dirancang, tapi tinggal angan-angan. Seolah-olah azam tu semua tak ada makna…sia-sia.
Otak rancak berfikir apa yang orang lain capai, tapi kita cuma tengok sahaja. Tanpa sedar, kita buat audit emosi sendiri. Dan keputusan audit tu jarang neutral.
Ada yang rasa bersalah sebab:
“Aku banyak tangguh benda yang aku janji dengan diri sendiri.”
Ada yang rasa kosong sebab:
“Aku capai semua yang aku sasarkan… tapi kenapa aku tak rasa puas?”
Ada yang rasa penat walaupun tak buat apa-apa:
“Kenapa aku letih sedangkan aku cuma berehat?”
Dan ramai — terlalu ramai — yang rasa:
“Aku patut jadi versi diri yang lebih baik sekarang.”
Yang peliknya, kita jarang cerita benda ni. Sebab dari luar, hidup nampak okay.
Ada kerja.
Ada keluarga.
Ada rutin.
Tapi dalam kepala, ada dialog senyap yang ulang ayat sama:
“Is this it? Macam ni je ke life aku?”
Cuti sekolah buat kita lebih perasan benda ni. Bila anak-anak ketawa tanpa sebab,
kita senyum…dan dalam masa yang sama tertanya:
“Bila kali terakhir aku rasa ringan macam ni?”
Bila rumah jadi bising dengan suara kecil, kita rasa serabut…dan kemudian rasa bersalah sebab serabut.
Semua emosi datang sekali. Tak bagi peluang untuk disusun dan datang ikut giliran.
Hujung tahun bukan buat kita lemah. Ia cuma buat kita jujur.
Jujur tentang penat.
Jujur tentang rindu versi diri yang lama.
Jujur tentang harapan yang kita sorok sepanjang tahun sebab “tak ada masa nak fikir”.
Dan sebenarnya…tak ada yang salah dengan rasa tu.
Sebab, masalahnya bukan sebab kita rasa begitu. Masalahnya bila kita terus pukul diri sendiri kerana rasa begitu.
Kita kata:
- “Aku ni tak bersyukur.”
- “Aku ni lemah.”
- “Orang lain lagi susah.”
Padahal…ini cuma reaksi manusia bila akhirnya ada ruang untuk bernafas.
Mungkin hujung tahun bukan masa untuk kita cipta target yang besar-besar untuk tahun depan, buat azam yang gila-gila sampai rasa tekanan untuk jadi versi ‘perfect’.
Mungkin ia cuma masa untuk satu soalan jujur, tanpa kita tapis, tanpa judgement, tanpa kita bandingkan dengan orang lain:
“Apa sebenarnya yang aku rasa sekarang?”
Dan berani duduk sekejap dengan jawapan tu.
Kalau kau rasa:
- kosong
- penat
- perlahan
- keliru
kau bukan rosak.
kau cuma manusia yang akhirnya berhenti berlari. Ini semua rasa yang kita rasa, yang tak semua berani mengaku.
Tak perlu selesaikan semua sebelum tahun baru. Tak perlu jumpa jawapan malam ni juga.
Kadang-kadang, cukup dengan:
- sedar
- akui
- dan beri diri sendiri izin untuk rasa
Itu pun satu bentuk kemajuan.













Leave a comment